Sunday 20 May 2012

GARIS PANDUAN PENYEDIAAN MAKANAN KANAK­ KANAK TABIKA PERPADUAN

Sebelum ini saya ada berkongsi mengenai garis panduan pemakanan bagi bayi. Kali ini saya ingin berkongsi pula mengenai garis panduan pemakanan kanak-kanak di Tabika Perpaduan.

TUJUAN

Penyediaan dan pengendalian makanan di kelas Tabika Perpaduan yang bersih teratur dan selamat adalah amat penting kerana ianya berkait secara langsung dengan pemberian makanan seimbang yang menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan kanak-­kanak. Sehubungan itu, peraturan dan prosedur dalam penyediaan dan pengendalian makanan kanak-­kanak Tabika Perpaduan perlu dipatuhi dan dititikberatkan demi mencapai matlamat tersebut.

KEPENTINGAN PERATURAN DAN GARIS PANDUAN DALAM PENYEDIAAN MAKANAN KANAK-­KANAK

1. Memastikan pemberian makanan yang bersih, berzat dan seimbang kepada kanak-­kanak Tabika Perpaduan. Ianya bagi menjamin tumbesaran yang sempurna kanak-­kanak dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mengelakkan penyakit; 

2. Meningkatkan amalan pemakanan berkhasiat dan seimbang dikalangan kanak-­kanak; 

3. Menyelaras dan menyelenggarakan pendidikan kesihatan dan pemakanan secara langsung dan tidak langsung

4. Mengendalikan dan mengamalkan tabiat sopan santun, disiplin, timbang rasa serta amalan­amalan murni yang berkaitan dengan kebersihan diri, kebersihan makanan dan kebersihan alam sekitar.

PERUNTUKAN DAN BELANJAWAN

Antara perkara-­perkara yang diambil kira adalah seperti berikut :­ 

1. Peruntukan yang diberikan bagi pemberian makanan seimbang adalah sebanyak RM 1.50 seorang kanak­kanak bagi setiap hari persekolahan. Sehubungan itu, jumlah peruntukan berkenaan hendaklah digunakan oleh guru dan penolong guru bagi pembelian makanan harian utama di samping pembelian makanan berkhasiat 
tambahan yang diperlukan bagi pertumbuhan serta perkembangan fizikal dan mental kanak-­kanak; 

2. Bagi mengelakkan sebarang pembaziran berlaku, pihak Negeri/Daerah/Bahagian/JPTP dinasihatkan menguruskan pembelian makanan berkhasiat tambahan seperti susu, bijirin, sayur-­sayuran dan buah-­buahan segar yang disukai dan diperlukan kanak-­kanak berdasarkan permohonan dan keperluan Guru/Penolong Guru di kelas masing­masing; 

3. Bagi kelas yang tidak dibenarkan memasak oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat atau pihak-­pihak lain, oven/ketuhar boleh digunakan untuk memanaskan makanan yang ditempah dari luar. Pemilihan pihak yang menyediakan makanan perlulah mengutamakan ibu bapa kanak-­kanak Tabika Perpaduan yang sanggup menyediakan makanan;

4. Dalam pengurusan pembelian makanan kanak-­kanak, perkara­-perkara di bawah ini hendaklah diambil perhatian :­

  • Kadar tidak melebihi RM 1.50 seorang kanak-­kanak sehari diperuntukkan untuk menyediakan makanan kanak-­kanak sebanyak 2 kali sehari iaitu semasa sarapan pagi dan minum pagi atau makan tengahari dan minum petang untuk kelas sesi petang. Pemberian makanan adalah pada pukul 8.00/8.30 pagi dan pada pukul 10.00/10.30 pagi manakala kelas sesi petang pula pada pukul1.30/2.00 petang dan 2.30/3.00 petang;
  • Menu bersesuaian dengan piramid pemakanan seimbang seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia 
  • Guru dan Penolong Guru tabika berhak menentukan jenis makanan tambahan yang bersesuaian seperti kismis, pop ­bijirin, koko crunch, cornflakes, quaker oat, nestum dan sebagainya bergantung kepada peruntukan; 
  • Mematuhi segala prosedur dan peraturan kewangan yang sedia ada dalam pengurusan perbelanjaan makanan.
  • Tuntutan makanan bagi setiap bulan hendaklah dikumpulkan dan dihantar kepada Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri untuk bayaran pada tiap­tiap akhir bulan.
PENYEDIAAN DAN PENGENDALIAN PEMBERIAN MAKANAN

1. Penolong guru Tabika hendaklah menyediakan dan memasak makanan dan menghidangkan kepada kanak-­kanak; 

2. Bagi kelas yang tidak dibenarkan memasak oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat atau pihak­pihak lain, maka pembekal makanan boleh ditentukan seboleh­bolehnya di kalangan ibu bapa kanak­-kanak Tabika dengan memperolehi kelulusan dari Pejabat Perpaduan Negeri/Daerah/Bahagian. Selain itu, oven/ketuhar boleh digunakan bagi memanaskan makanan yang ditempah/dibekalkan; 

3. Penolong Guru Tabika bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan dalam proses penyediaan dan pengendalian pemberian makanan kepada kanak-­kanak, mementingkan kebersihan makanan dan mengawasi segala peraturan kebersihan terutama sekali semasa menyediakan dan menghidangkan makanan kepada kanak­-kanak untuk mengelak keracunan makanan dan penyakit-­penyakit berjangkit;

4. Aspek-­aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam penyediaan dan pengendalian pemberian makanan adalah seperti berikut :­
  • Pilih makanan yang rendah lemak dan kurang manis. Elakkan pengambilan kolesterol secara berlebihan dengan cara memberi kanak-­kanak telur tidak lebih satu biji satu hari secara purata dan memasak makanan laut tidak lebih dua kali dalam seminggu;
  • Lebihkan makan sayur­sayuran dan buah­buahan kerana makanan ini kurang mengandungi lemak, mempunyai serat dan membekalkan vitamin dan zat­zat yang sangat penting untuk kesihatan dan mencegah penyakit kanser ataupun penyakit kronik;
  • Kanak-­kanak perlu digalakkan supaya tidak gemar kepada makanan yang masin. Cara mengurangkan penggunaan garam ialah :­ 
i) Gunakan sedikit sahaja garam di dalam masakan; dan

ii) Elakkan pengunaan MSG (Monosodium Glutamate). 
  • Minum banyak air kosong.
CARA PENYEDIAAN MAKANAN DAN AGIHANNYA 

Semasa hendak menyediakan makanan pastikan :­

1. Tangan dibasuh terlebih dahulu; 

2. Gunakan apron semasa memasak dan menyediakan makanan;

3. Peralatan yang digunakan berada dalam keadaan bersih; 

4. Sayuran dan buah­buahan hendaklah dibasuh sebelum dipotong; 

5. Selepas memasak, tempatkan makanan di tempat yang bersih dan tertutup;

6. Bersihkan ruang memasak; 

7. Sisa makanan hendaklah dibuang dengan cara yang bersih dan selamat; 

8. Semasa memasak, pastikan anda berada dalam keadaan bersih.

Cara Menyediakan Makanan Bagi Mengekalkan Khasiatnya :­

1. Jangan potong terlalu kecil; 

2. Mesti dipotong sejurus sebelum dimasak; 

3. Ayam dan daging dipotong sederhana besar; 

4. Makanan yang hendak disimpan di peti sejuk hendaklah diasingkan mengikut rasanya; 

5. Tutup periuk atau kuali semasa memasak; 

6. Gunakan air yang sedikit ketika merebus makanan.

Penjagaan Kebersihan Dan Suasana Semasa Makan :­

1. Pastikan kanak-­kanak membasuh tangan sebelum dan selepas makan; 

2. Peralatan yang digunakan hendaklah bersih; 

3. Pastikan kanak-­kanak tidak berkongsi peralatan dan makanan; 

4. Ruang makanan hendaklah kemas dan bersih; 

5. Galakkan kanak-­kanak membantu semasa menyedia dan menghidangkan makanan sebelum dan selepas makan; 

6. Semasa makan, Guru hendaklah sentiasa bersama kanak­-kanak; 

7. Berbual dengan kanak­-kanak tentang jenis dan khasiat makanan yang dimakannya; 

8. Selepas makan, galakkan kanak­kanak menggosok gigi.

PANDUAN PEMILIHAN MAKANAN SEIMBANG

1. Makanan berkhasiat yang dipilih perlu berasaskan pemilihan makanan pelbagai berasaskan piramid makanan iaitu daripada 5 kumpulan utama makanan :­
  • Bijirin; 
  • Sayur-­sayuran dan buah­-buahan;
  • Daging; 
  • Susu atau hasil tenusu; dan 
  • Lemak dan gula. 
2. Nutrien adalah penting bagi proses dalam badan seperti berikut :­
  • Metabolisme tenaga; 
  • Petumbuhan Otot; 
  • Pembentukan Darah; 
  • Pembentukan Tulang;
  • Perkembangan Otak. 
(untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pembahagian-pembahagian menu ini, sila lihat contoh menu yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia).

PENYELIAAN DAN PEMANTAUAN

Bagi menyelaraskan dan menyeragamkan urusan pembelian, penyediaan dan pengendalian pemberian makanan, pihak negeri dikehendaki mengikuti garis panduan pemakanan yang disediakan kepada kelas Tabika Perpaduan di samping menguatkuasakan dan memantau pelaksanaannya. Pegawai Jabatan hendaklah mengawasi pelaksanaan pengendalian dan pemberian makanan kepada kanak­kanak Tabika Perpaduan secara rapi untuk memastikan kanak-­kanak memperolehi makanan seimbang yang diperlukan.

Terima kasih kerana sudi membaca =)
Garis panduan ini boleh dijadikan rujukan untuk membuat tugasan kertas kerja membina sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang memerlukan menu untuk disediakan kepada kanak-kanak.





No comments: